Tuesday, October 26, 2010

Penipuan Terbesar Abad Ini

Amman: Minggu ini genaplah 84 tahun berlakunya satu peristiwa yang tidak ada tolok bandingnya dalam sejarah dunia ini. Britain, melalui Setiausaha Negara untuk Hal Ehwal Luar, Arthur Balfour, telah mengeluarkan satu kenyataan menjanjikan masyarakat Yahudi satu tanah airnya di Palestin.

Pengisytiharan itu berbentuk satu surat yang dikirimkan bertarikh  2 Nov., 1917, oleh Balfour kepada Lord Rothschild, seorang ahli terkemuka masyarakat Yahudi di Britain. Janji itu akhirnya menjadi terkenal seluruh dunia dengan panggilan ‘Pengisytiharan Balfour’ (Balfour Declaration) dan bertanggungjawab merubah corak sejarah Timur Tengah sehingga hari ini. Tidak menghairankan apabila orang Palestin yang kehilangan tanah air mereka, bersatu mencemuh pengisytiharan itu dengan panggilan “Ominous Declaration” (Pengisytiharan Celaka).

Adalah elok dicatatkan dengan jelasnya, ketika pengisytiharan itu diumumkan, Palestin ataupun Timur Tengah (kecuali Mesir) bukannya merupakan jajahan takluk British. Jadi di sini kita dapati sebuah negara asing (Britain) menjanjikan kepada orang lain sebahagian tanah kepunyaan (Palestin) kepada pihak ketiga (masyarakat Yahudi).

Dalam hal ini terdapat satu perlanggaran hukuman alam “sesiapapun tidak boleh memberi sesuatu yang bukan miliknya” (nemo dat quod non habet) . Jelas, pengisytiharan ini bukannya dilakukan oleh rakyat Palestin, ataupun dengan keizinan mereka, sepatutnya tidak boleh dikaitkan kepada rakyat Palestin. Professor Undang-Undang Antarabangsa Musa Muzzawi ada menyebut, dalam hal ini, pengisytiharan ini hanya laku sah terhadap Britain. Dia membuat satu analogi mengandaikan seorang pelancung yang telah ‘dijual’ kepada Istana Buckingham. Pelancung ini tidak ada kaitan undang-undang terhadap Ratu England tetapi boleh mendakwa si “penjual” tadi.

Pada 1947, ekoran kemudahan yang disediakan oleh Britain, terdapat kemasukan lebih 600,000 Yahudi daripada negara Barat memasuki Palestin, sehinggakan PBB yang mempunyai tanggungjawab memelihara hak asasi manusia, keadilan, keamanan, hak kesamaan dan kuasa menentukan hala tuju sendiri, telah membuat cadangan agar Palestin dibahagi kepada dua buah negeri, satu untuk orang Palestin dan satu untuk orang Yahudi, dengan Jerusalem dijadikan satu tapak bertaraf antarabangsa (Resolusi 181 November 29, 1947)

Sudah tentu, orang Palestin menolak usaha memecah-belahkan tanah air mereka dengan penempatan orang asing membuat kampung penempatan mereka. Sebaliknya, orang Yahudi, menerimanya, dan Israel telah diisytiharkan pada Mei 14-15, 1948. Dengan ini muncullah apa yang disebut sebagai satu ‘dunia selari': di mana pembohongan menjadi satu kebenaran, yang menjadi mangsa menjadi orang yang mendera, pembunuhan menjadi alasan mempertahankan diri, pembuangan menjadi peralihan, dan pembunuhan kanak-kanak dianggap sebagai ‘sambutan tegas’ sahaja.

Proses ini yang digelar oleh orang Israel sebagai ‘peperangan menegakkan kemerdekaan’ sedangkan masyarakat Palestin menyebutnya sebagai “Al Nakba” (bencana besar). Lebih 750,000 orang Palestin dibuang negara, ataupun diancam dengan ganas sehingga mereka melarikan diri dan melepaskan kampung halaman mereka, sehinggakan perkampungan mereka diganyang oleh kumpulan keganasan Yahudi yang lebih dikenali sebagai Irgun, Haganah, Stern Gang (antara lainnya). Ironisnya dua ketua pemimpin pertubuhan ganas ini (Menachem Begin dan Yitzak Shamir) menjadi termasyhur dan menjadi perdana menteri Israel akhirnya.

Selama 20 tahun berikutnya dengan pengisytiharan Israel itu, dunia luas sudah melihat betapa Palestin telah kehilangan tanah air mereka, disebabkan dasar Israel mengembang dan merampas tanah orang. Pada 1967, Israel menyerang Tebing Barat dan Gaza Strip, menyebabkan lebih 500,000 rakyat Palestin melarikan diri mereka.

Kini, 53 tahun selepas kelahiran Israel dan 84 tahun selepas Balfour memberikan janjinya, seluruh anak-pinak Palestin yang berjumlah 1.2 juta dan hidup dalam buangan itu menyumbangkan kepada jumlah Palestin seluruhnya yang berjumlah sekitar 5 juta di dunia ini.

Mereka kini merempat di empat penjuru dunia tanpa kewarganegaraan dan tanah kampung halaman.

Yang berbaki sejumlah 3 juta itu, terus hidup merempat di tanah kelahiran mereka sebagai rakyat kelas dua ataupun di bawah penjajahan pentadbiran tentera Israel.

Israel telah terus menolak penerimaan warga Palestin, walaupun sudah ada 60 resolusi PBB mendesak perkara itu dilaksanakan. Malahan, syarat penerimaan Israel menganggotai PBB adalah bergantung kepada kesediaannya menerima semula kepulangan warga Palestin itu. Israel terus menyangak, bukan sahaja arahan bersurat PBB itu, malahan setiap resolusi PBB tidak dipedulikannya, kerana perbuatannya itu disokong oleh Amerika Syarikat dan masyarakat dunia yang tidak bertimbang rasa.

Kedudukan Palestin semakin berkecamuk. Setiap kali ia cuba mengingatkan dunia akan keaiban yang ditanggungnya, dan betapa ia kehilangan hak ke atas kampung halamannya, mereka terus dituduh berfahaman anti-Semitik, neo-Nazis dan pembenci peristiwa Holokos. Tetapi, Palestin tidakpun mempunyai sebarang sifat seperti itu. Mereka tidak boleh bersifat anti-Semitik kerana mereka sendiri adalah tergolong dalam mereka yang menerima Kitab ajaran wahyu; mereka tidak bersifat neo-Nazis kerana mereka adalah mangsa keganasan dan amalan neo-nazis, dan sudah tentu mereka tidak pernah mempertikaikan kewujudan Holokos. Tetapi, apabila dinafikan hak mereka dan dipisahkan daripada tanah air mereka, orang Palestin menolak mereka yang merencana tragedi itu semua.

Natalie Sarruate, seorang novelis Peranchis pernah menulis: “Aku bencikan mangsa yang menghormati algojo mereka.” Apakah tanggapan dunia terhadap orang Palestin? Apakah mereka mesti berterima kasih kepada Britain kerana merampas tanah air mereka? Apakah mereka mesti berterima kasih kepada Israel kerana merampas kampung halaman mereka dan melakukan penghapusan etnik terhadap kaum Palestin? Seluruh dunia seharusnya tahu membezakan antara anti-Yahudi dan anti-Israel. Seseorang mungkin mampu menghormati orang Yahudi, agama Yahudi dan budaya Yahudi, tetapi membenci keganasan Israel dan keangkuhannya.

Yang dikisahkan di atas adalah senario kepada apa yang ditayangkan di TV sejak 13 bulan yang lalu. Warga Palestin generasi ketiga sedang mencuba membetulkan segala kesalahan yang dilakukan oleh Balfour, 84 tahun selepas beliau membuat pengisytiharan itu.
 

No comments:

Post a Comment